Perlukah aku bersedih? #1


Hampir tujuh tahun aku merasakan hal ini. Sering kali terjatuh dan tersungkur tatkala melihat dengan keputusan yang aku peroleh. Zaman kanak-kanakku yang sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dan keseronokan terus perlahan-lahan meresap hilang dari dalam diri. Apakah yang telah terjadi kepada diriku yang dahulu? Dahulu aku sering menyoal orang tentang kebahagiaan yang mereka lalui di alam dewasa. Seronokkah? Banyakkah wang yang mereka dapat pada setiap bulan? Melihat akan benda yang mereka mampu beli dengan wang sendiri membuatkan aku tidak sabar untuk melangkah ke alam remaja. Aku mahu dapatkan juga apa yang aku mahukan dalam hidupku. Aku mahu meningkat dewasa dengan lebih cepat. Namun, sangkaanku salah.


 Tersungkur jatuh menyembah bumi, aku bangkit semula dengan senyuman. Perasaan sedih yang mencarik jiwa aku lawan dengan sehabis baik. Tohmahan manusia tentang perihal aku kerana tersalah langkah hampir menjatuhkan aku buat kesekian kalinya. Aku lelah. Masuk tahun seterusnya, aku bahagia di samping sahabat yang ada. Pelbagai perwatakan yang dapat ku lihat. Diri mereka  berbeza mengikut diri masing-masing. 


  Namun selepas beberapa tahun tersenyum dan cuba untuk melangkah ke hadapan, kata-kata seorang hamba Allah mula kedengaran di cuping telinga. Terus menusuk ke dalam jiwa sehingga menghancurkan malam yang sepatutnya aku tidur dengan lenanya. Aku menangis lagi kerana malu dengan hasil pencapainku yang tidak seberapa. Sehinggalah pada satu tahap yang aku tidak sanggup meneruskan kehidupanku dengan hati yang rela lagi. Aku seperti tiada hala tuju kerana perlu mengharungi semua ini di fasa meningkat remaja. 


  Aku bersujud menyembah bumi, mutiara jernih tidak henti mengalir menitis di atas hamparan kain sejadah. Teringat kembali sewaktu itu tatkala aku menangis seorang diri pada malam hari kerana sesak dengan ujian duniawi. Aku hanya ada yang Maha Esa. Aku kecewa dengan diri sendiri. Aku rasa seperti memalukan keluargaku dengan pencapaian yang aku peroleh. Pencapaian yang tidak boleh menandingi keluarga dan suadara maraku. Jujur aku malu apabila dipersoalkan tentang pembelajaranku. 


    Pernah aku rasa diriku cetek akal apabila berada dengan keluarga besarku. Sambil menonton televisyen, mereka mampu menjelaskan isu yang berkaitan dengan filem tersebut dengan jelas sekali. Aku terasa begitu kerdil dengan kebijaksanaan dan pengetahuan luas mereka. Diri terasa mahu berganjak pergi meloloskan diri berseorangan. Ada satu hari di mana kami sedang menaiki kereta untuk ke satu destinasi. Sambil makan angin malam, mereka membuka cerita tentang satu subjek akedemik yang bermain dengan unsur alam. Aku sekadar diam kerana tidak tahu banyak perkara dalam subjek itu. Perincian yang dibentangkan oleh saudaraku yang lebih muda membuatkan aku sekali lagi bersedih dan malu. Apa yang memeritkan lagi adalah aku sendiri belajar akan subjek tersebut namun pengetahuannya lebih daripadaku. Mungkin itu anugerah yang Tuhan berikan kepadanya. Bahkan aku pula perlu berusaha lebih untuk mempunyai pengetahuan yang seperinci itu.


   Hari demi hari berlalu, aku pernah mengalami fasa kemurungan yang mendadak kerana pencapaian akedemikku tidak seperti apa yang aku mahukan. Perit untuk digambarkan apabila keluarga mula menyoal tentang keputusan yang diperoleh oleh rakan-rakanku yang lain. Kebanyakkan daripada mereka berjaya dengan bangganya. Manakala aku sekali lagi, kecundang. Namun, aku teruskan juga hidup seperti biasa walaupun hati ngilu dengan kata-kata mereka yang boleh mengoyakkan aku lagi. Hidup perlu sabar dan redha. Aku perlu melangkah. 


    Kini, tibalah tahun akhir. Keputusan akhir dikeluarkan dan aku mula menyemak keputusan. Aku hilang kata. Speechless. Perasaan aku neutral. Keputusan itu tidak langsung membuatkan aku gembira mahupun sedih. Seperti doaku kepada Sang Pencipta agar dilapangkan dada dan dipermudahkan urusan telah dilancarkan. Aku tenang dengan keputusan yang diterima meskipun tidak mencapai target dan impianku. Namun, ia hanya seketika. Tibalah malam itu, aku mula diserang perasaan takut dan sedih yang melampau. Melihat riak wajah gembira orang-orang yang sama umur denganku membuatkan aku pilu dengan diri sendiri. Perasaan beberapa tahun lepas mula menghantui diri. Aku penat dengan diriku untuk kali ini. Otak ligat memikirkan soal impian dan masa depanku yang mula goyah. Seperti tiada harapan lagi untukku. Tetapi dengan bantuan Ilahi, aku melangkah lagi ke hadapan. Berdoa agar ada pintu cahaya yang boleh buatku terima dengan hati yang terbuka dan syukur dengan pemberian-Nya.


    Keputusan pengeluaran IPTA mula dikeluarkan setelah dikemaskini. Bidang yang aku mahukan tidak layak dimohon kerana kurang daripada gred yang mereka mahukan. Aku hampa. Betul-betul hampa. Perasaan yang aku inginkan untuk membanggakan insan yang tersayang terus beransur pergi. Duniaku seolah-olah gelap gelita. Masa depanku seperti debu yang berterbangan. Halus dan sukar untuk kelihatan. Kali ini aku benar-benar sakit, Ya Allah. Sungguh aku Percaya bahawa Engkaulah yang telah merancang perjalanan hidupku. Maka bantulah aku untuk tidak berputus asa. Yakinkanlah aku supaya percaya dengan perancangan-Mu.


    Walaupun bersedih, tetapi aku masih ada beberapa pilihan. Namun, aku takut jikalau aku tidak mampu untuk membawanya. Aku masih lagi beringinan untuk mencapai impianku meskipun kesemuanya kelihatan begitu sukar untuk diperoleh. Kali ini, aku berharap lagi, Ya Allah. Jika ini pilihan yang terbaik untukku, maka Kau permudahkanlah. Kau berilah aku kesempatan untuk membanggakan kedua-dua orang tuaku walaupun hanya sekali. Berilah aku peluang untuk membahagiakan mereka. Kali ini aku berserah kepada-Mu, Ya Rabbi. Aku tahu aku tidak sebijak dan sepintar mereka di luar sana, maka bantulah aku dalam menimba ilmu. Kau jayakanlah diriku dengan masa depanku. Aku tahu yang usahaku sebelum-sebelum ini tidak Kau sia-siakan. Aku tahu yang Engkau telah merancang sesuatu di sebalik pengetahuan aku. Kali ini aku bergantung sepenuhnya kepada-Mu. Engkau sahaja penyelamatku di dunia dan di akhirat kelak. 


   Aku hanyalah hamba-Mu yang penuh dengan cacat cela. Terima kasih kerana benarkan aku bernafas hingga kini meskipun aku hampir berputus asa dalam hidpuku. Aku percaya akan Mu. Aku tahu masaku akan tiba. Mungkin bukan hari ini, tetapi satu hari nanti. 

Comments

Popular Posts