Selagi berharap #2
![]() |
| (Karya Teme Abdullah : Arkitek Jalanan) |
Kehidupan ini penuh dengan kejutan. Aku tahu perkataan lelah dan penat itu sering kali meniti keluar dari bibirku. Bahkan ramai lagi yang sering menyebut perkataan ini tatkala ditimpa masalah dan beban yang sukar untuk mereka tempuhi. Percayalah bahawa itu perkara biasa. Pada saat dunia mula melelahkanmu, ketahuilah bahawa Sang Pencipta sedang mengubati hatimu yang lelah itu dengan kejutan yang tak dijangka dek akal fikiran.
Kadang tidak terungkap perkataan ini,
Hati turut penat untuk memendamnya bersendirian,
Tiada siapa yang boleh memahami apa yang ku rasakan,
Hanya si Dia yang sanggup mendengar luahan meskipun
tiada perkataan yang dikeluarkan.
Tidak aku nafikan yang aku juga sedang menempuh fasa kehidupan yang satu ini. Saat yang agak mencabar untuk diriku yang mula melihat kitaran kehidupan manusia. Pelbagai ragam dan karenah. Tujuan diri dan impian mereka juga berbeza dan aku juga tergolong dalam manusia yang mempunyai tujuan hidup yang aku mahukan. Tidak lupa juga dengan impianku. Impian yang tidak ubah tingginya seperti setingginya angkasa. Namun, itulah apa yang aku tetap mahukan. Aku percaya yang masaku akan tiba.
Tujuan aku mencipta blog ini adalah untuk dijadikan sebagai ingatan dan momen hidupku. Jikalau umurku panjang, bolehlah aku membaca semula tentang kisah ini. Andai sudah tiba masaku yang Allah sudah janjikan, aku akan kembali membaca kisah-kisahku di sini. Segala penat lelah dan luahan hati yang aku tulis bakal membuatkan aku tersenyum dan bersyukur akan kesabaranku. Sungguh Allah berada dengan hamba-hambanya yang tetap bersabar. Aku pasti yang semua orang mempunyai keinginan masing-masing. Maka, lakukan apa-apa saja yang membuatkan hatimu lega walaupun perkara itu tidak sebesar mana. Contohnya, menulis buku atau blog. Bermain alat muzik, mungkin? Hidupmu akan berasa tenang dengan perkara sekecil ini.
Bagi aku, menulis dapat melapangkan dan mengosongkan fikiranku yang kusut. Selain memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa, menulis juga membantu aku untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan dugaan ini. Jadi, lakukanlah apa-apa saja yang kamu mahukan asalkan ia tidak melampaui batas.
Aku tahu perkara yang aku sedang lalui ketika ini adalah salah satu perancangan-Nya.. Jadi, aku harus percaya bahawa semuanya akan berakhir dengan baik-baik saja. Pasti ada hikmah dengan perkara yang telah berlaku. Mungkin ini adalah perjalanan hidupku yang Allah sedang rancangankan dalam menjawab doa-doa dan keinginanku. Jadi, aku perlu terus berharap dan meminta. Aku perlu percaya dengan petunjuk dan jalan yang aku sedang lalui ini. Ini adalah yang terbaik bagiku jika diredhai oleh-Nya.
Selagi ada harapan dalam hidup ini, selagi itu ada cahaya yang menerangi jalan kita. Jangan berputus asa walau jalannya tidak rata dan berlopak-lopak kerana selagi kita terus bergerak ke hadapan, semakin kurang lopak yang kita rasai. Begitu juga pertolongan si Dia. Semakin susah jalan yang kita perlu lalui, semakin banyaklah kejutan yang dia bakal berikan. Kesenangan bakal menanti jua. Aku yakin dan pasti.
Harapan itu seperti cahaya,
Semakin berharap, semakin teranglah cahayanya,
Selagi bergantung harap kepada Sang Pencipta,
Semakin besarlah kejutan yang bakal diberikan oleh-Nya.
Jadi, Percayalah kepada Dia. Meskipun kelihatan mustahil ketika ini, letakkan harapan dan kepercayaan terhadap-Nya. Aku yakin yang semuanya akan berakhir dengan suluhan cahaya daripada-Nya. Insya-Allah.


Comments
Post a Comment