Destinasi seterusnya #3
Sudah lama aku mendiamkan diri daripada meluahkan kata-kata di blog ini. Pelbagai perkara sudah terjadi sehingga hampir setahun aku menghilangkan diri. Kehidupan aku usai saja menulis rentetan blog sebelum ini baik sekali. Aku dipanggil masuk ke satu program yang dapat membantu aku untuk terus gagah melangkah meskipun sewaktu itu hati berbelah dua. Alhamdulillah, saat ini aku sudah selamat mengharunginya. Kini aku berada di satu destinasi baharu. Destinasi yang bakal mengubah hidupku daripada segi pemikiran dan juga kehidupan. Seperti yang aku katakan sebelum ini, melihat ragam manusia yang menetap di Bumi Allah ini.
Enam bulan berada di tempat baharu banyak mengajar aku soal kehidupan. Aku dapat melihat pelbagai ragam dan karenah manusia. Ada yang baik, ada yang tidak. Ada yang perlu diikut, ada yang perlu dijauhkan. Bukan mudah. Hati dan jiwa perlu kental dan kuat. Insya-Allah.
Minggu pertama di sana, duniaku rasa tidak aman. Berjauhan dengan keluarga buat pertama kalinya meskipun rumahku tidaklah sejauh yang disangkakan tidak dapat mengelakkan aku daripada tidak menangis. Perit? Sudah tentu. Mata ini seakan kering dengan air kerana terlalu banyak menitiskannya. Setiap malam tanpa henti. Namun hariku mula berubah tatkala sesi perkuliahan bermula. Tidakku sangka, perjalananku dalam menuntut ilmu Allah begitu indah dan ceria. Aku bersyukur kerana aku masih kuat bertahan meskipun hati kata tidak.
Kehadiran orang baru di kelas banyak mengajarku soal kehidupan. Di sinilah semuanya bermula. Di sinilah aku mula melihat dunia. Di sinilah aku mula belajar erti kesyukuran. Di sinilah juga aku belajar tentang erti persahabatan.
Syukur, orang-orang rumahku semuanya baik-baik belaka. Ada kadang yang mengilukan jiwa ini, ada juga kadang yang mewarnakan hariku ini. Tanpa suara mereka, aku akan rasa sunyi. Pertemuan yang tidak disangka tanpa dirancang amatlah indah. Aku bersyukur kerana mengenali mereka. Dahulu aku mahu lari meninggalkan tempat ini, tetapi sekarang hatiku perit merindukannya. Kepada kami bertujuh, aku ingin mengucapkan Terima Kasih kerana menerima kehadiranku. Sungguh aku merindukan suara-suaramu. Andai boleh diputarkan waktu, aku mahu cuba menetap di tempat yang sama hingga ke akhirnya. Tetapi apakan daya, hidup manusia ini bergantung kepada ketentuan-Nya. Aku yakin, perjumpaan dan pertemuan kita bukan hanya kebetulan dan sebentar saja... aku yakin yang kita akan bertemu kembali. Mungkin lima tahun lagi?
Kembali semula ke bilik kuliah. Rakan-rakanku di sana sangat aku hargai. Mereka semua seperti kawan rapatku. Meskipun pertemuan kami singkat, tetapi masa yang terluang bersama sangatlah bermakna. Kami menuntut ilmu bersama, menyoal bersama dan mengharunginya bersama. Mereka bagaikan hadiah yang indah buatku. Dulu aku lekas-lekas mahu mengakhirkan semuanya. Aku mahu pergi dari tempat itu. Tetapi sekarang, aku mahu kembali ke sana. Aku mahu melihat setiap momen yang ada seperti layar pita. Aku mahu ulang detik-detik itu seperti keset. Aku mahu merasakan kebahagiaan itu lagi, Sungguh aku merindukan persekitaran di sana.
Beberapa minggu sebelum peperiksaan akhir, mereka bercadang untuk membuat grup belajar bersama, Tuhanku, itulah momen yang terindah pernah aku rasakan. Setiap malam aku dan mereka belajar bersama tanpa mengira waktu. Pagi dan petang juga... tanpa jemu. Mereka mengajarku tanpa segan silu, tanpa mengadu. Hanya Allah saja yang tahu betapa besarnya ucapan Terima Kasihku ini kepada kalian. Setiap detik yang terluang akan aku simpan hingga ke liang lahad. Aku benar-benar menghargainya. Aku benar-benar memaksudkannya. Kalian ialah anugerah Tuhan kepadaku dalam meneruskan langkah menimba ilmu. Sebelum ini hati dan jiwaku hancur dengan kehidupan lampau. Namun semuanya beransur tenang dan kembali cantum tatkala kalian hadir. Benarlah, Takdir Allah itu indah.
Kepada engkau yang sedang membaca ini, andai kau mengenaliku, maafkan aku atas setiap tutur kataku. Ketahuilah yang aku betul-betul memaksudkan setiap apa yang aku utarkan di sini. Di sini aku sedar, benarlah dengan kata-kata 'Akan ada pelangi selepas hujan'. Tuhan tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya tenggelam dalam dakwat hitam selamanya. Dia sentiasa ada... Dia sentiasa hadir dalam memberikan pertolongan. Keindahan itu akan datang dengan pelbagai warna.
Kali ini di tempat baru, aku dihantar jauh. Berkali-kali gandanya jauh dari ahli keluarga. Namun aku masih kuat meskipun tubir mata masih tidak kering. Mengingat kembali impian dan kemahuanku... aku perlu terus melangkah. Terima kasih Tuhan kerana memberi aku pengalaman lama itu. Pengalaman itu mengajar aku untuk terus hidup untuk hari ini. Tanpa pengalaman itu, aku tidak akan tersenyum tika ini. Tanpa pengalaman itu, aku tidak akan faham makna sebuah kehidupan. Destinasi baruku. Destinasi yang dilakar indah dijadikan Takdir. Semoga aku diberikan kekuatan. Engkau juga.
Jadi... apakah destinasi seterusnya?


Comments
Post a Comment