Hidup yang bercabang #4

     


     Aku pasti ramai yang tahu tentang hal ini. Kadang sebagai manusia, kita sering mengalami masalah yang membebankan diri sehingga kita sering melutut jatuh menyembah bumi. Sakit, bukan? Perasaan yang menyelubungi diri ini hanya diri kita sahaja yang tahu sendiri. Tiada siapa yang akan faham sepenuhnya. Apa yang memeritkan lagi apabila kefahaman mereka itu lari jauh daripada apa yang sebenarnya kita rasakan. Pedih dan luka itu menjadi lebih perit... lebih dalam... dan lebih berbisa. 

     Bagi aku, kehidupan ini penuh dengan akar dan cabang-cabang ranting. Akar yang tidak semestinya kemas dan tidak berkusut. Cabang ranting yang tidak semestinya kuat dan ampuh tetapi lebih kepada rapuh, mudah patah lalu hancur. 

     Sehingga kini, aku dapat rasakan bahang yang datang menyapa diri. Kadang bahang itu membawa kebahagiaan dan senyuman, kadang bahang itu membawa tangisan dan seduan. Semuanya bergantung kepada apa yang kita rasakan dalam diri ini. 

     Jadi, untuk aku dan kamu yang sedang menanti hari dan waktu ketika ini.. aku berharap dan berdoa agar kita sama-sama kuat melangkah ke hadapan. Aku tahu keperitan itu sukar untuk ditafsirkan. Aku tahu yang semuanya bukan mudah untuk kamu lalui. Aku tahu yang kamu tidak mahu orang menyakiti kamu lagi. Aku tahu yang kamu juga kuat dalam meneruskan hidup ini. Andai orang-orang itu memeritkan jiwamu lagi, maka siaplah diri untuk berlalu pergi. Tinggalkan mereka dan beransur ke tempat baru. Jangan biarkan dirimu dihentam lagi. Kamu berhak hidup dan menggapai kebahagiaan sendiri. 

     Kerana itu, bagi aku... hidup ini sentiasa bercabang. Aku dan kamu sentiasa ada pilihan. Jika tiada, maka jadikanlah dirimu sebagai pilihan utama. Bukan pilihan kedua.

Comments

Popular Posts